Surat ucapan penghargaan atas hari keputeraan.
[Gambar makhluk bersayap, berekor dan gambar bunga raya
di kanan kiri dengan kubah di atas tertulis:]
الله سبحانه وتعالى
DIBEBASKAN
Tarikh
28 Jamadilawal, 1405
18 Februari, 1985
Tuan Haji Abdul Hamid Tahir,
Setiausaha PERKIM,
Kedah.
Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas ingatan Tuan dan PERKIM Bahagian Negeri Kedah yang tulus ikhlas sempena menyambut hari keputeraan saya yang ke-82.
Terima kasih.
T. Abdul Rahman
[Tandatangan asal Tunku Abdul Rahman]
(TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA)
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (DMN., CH.)
16, Jalan Air Rajah, Pulau Pinang. Tal. 65970
1, Jalan Tunku, Kuala Lumpur. Tal. 983914
Ulasan:
Tunku Abdul Rahman adalah Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan manakala datuk adalah Setiausaha PERKIM Bahagian Negeri Kedah dari tahun 1980 hingga 1994. Beliau menceritakan pernah pergi berjumpa Tunku di Penang dan Tunku mewakafkan tanah di Derga, Alor Setar untuk dijadikan rumah anak-anak yatim. Datuk mengambil tanggungjawab itu dan akhirnya Darul Aitam wal Masakin Tunku Abdul Rahman Putra (DATAR) berjaya dibina dan masih beroperasi hingga hari ini. Selain menempatkan anak-anak yatim, rumah DATAR juga menjadi tempat untuk saudara baru memeluk Islam dan mempelajari agama.
Selain penubuhan DATAR, datuk juga terlibat dalam pembinaan Masjid Sultanah Bahiyah yang mana beliau menjadi imam, khatib dan memberi kuliah di situ. Kini imam di Masjid Sultanah Bahiyah ialah Haji Mustafa yang juga merupakan anak saudara beliau. Datuk juga terlibat dalam penubuhan Koperasi ANGKASA. Penulis pernah diajak menemani datuk ke majlis sambutan ulang tahun ANGKASA dan di situ berjumpa dengan ramai pengasas ANGKASA antaranya Profesor Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz.
Surat sempena hari keputeraan Tunku ini pada tahun 1985 iaitu 5 tahun sebelum kemangkatan Tunku pada 6 Disember 1990. Tunku merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari 1955, dan Perdana Menteri pertama dari tahun 1957 hingga 1970. Malaysia terhutang budi atas jasa besar Tunku dan semua pejuang kemerdekaan.
Rahimahumullahu jami'an... Allah merahmati mereka semua.
Commentaires