top of page
Search
Writer's pictureWan Kamal Nadzif Wan Jamil

Surat Tun Dr. Mahathir Mohamad 2005 & 2013

Updated: Oct 22, 2023

Surat penghargaan penyampaian hadith dan memartabatkan tulisan Jawi.


Surat 1


PERDANA

LEADERSHIP

FOUNDATION

YAYASAN

KEPIMPINAN

PERDANA

25 Julai 2005


Tuan Haji Abdul Hamid bin Tahir

2824-B, Lorong Menteri 2

Jalan Menteri

05250 Alor Setar

Kedah


YBhg. Tuan Haji,


Saya ucapkan terima kasih kerana penyampaian hadith sempena perlantikan saya sebagai ahli Panel J.K.U. Iraq (ECI). Ia memberi semangat kepada saya.


Salam hormat.


Mahathir

[tandatangan asal Tun Dr. Mahathir]


Dr Mahathir bin Mohamad



Surat 2


TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD


18 Januari 2013


YBhg Dato' Hj Abdul Hamid Tahir

2824B Lorong Menteri 2

Jalan Menteri

05250 Alor Setar

Kedah Darul Aman


Saudara


Lama sungguh saya tidak dengar dari Hamid. Surat saudara memenuhi kerinduan saya.


Sesungguhnya anak Melayu perlu belajar tulisan jawi, sudah tentu membaca Al-Quran. Ia adalah sebahagian dari identiti Melayu. Ini tidak bermakna membaca sahaja. Lebih penting ialah memahami mesej Al-Quran kerana Al-Quran adalah ummul kitab yang menjadi panduan utama dalam ajaran Islam. Saya sedih kerana kita sekarang lebih utamakan kitab-kitab tulisan orang tertentu serta guru kita daripada wahyu Allah s.w.t. yang terdapat dalam Al-Quran. Ramai yang tidak puas hati dengan keserdahanaan Al-Quran. Ramai yang ingin supaya agama Islam lebih keras seperti yang terdapat dalam sunnah (sunat - bukan wajib) Nabi dan imam-imam tertentu.


Kerana kita belakangkan Al-Quran, hari ini umat Islam tidak lagi bertamadun tinggi dan dapat menyelamatkan umat Islam. Kita, Nabi kita dan Tuhan kita dihina dan tidak ada apa-apa yang boleh dibuat oleh kita selain dari berdoa meminta dari Allah s.w.t. Al-Quran menegas bahawa Allah tidak akan ubah nasib kita sehingga kita berusaha mengubahnya dahulu. Sungguh panjang doa kita. Amat pendek usaha kita.


Hayat saya semakin pendek. Tak mungkin saya lihat umat Islam kembali kepada Al-Quran. Inilah yang menyedihkan saya. Baca boleh, faham tidak.


Salam hormat,


Mahathir

[tandatangan asal Tun Dr. Mahathir]


Dr. Mahathir bin Mohamad


 

Ulasan:


Surat 1 adalah nasihat berupa penyampaian hadith dan surat 2 adalah yang terakhir sebelum datuk meninggal dunia pada tahun 2016. Datuk pernah pergi berjumpa Dr. Mahathir di Menara Berkembar Petronas sebelum meninggal dunia. Beliau amat prihatin dengan isu tulisan Jawi dan minta penulis terus mempertahankan dan mengajarkannya kepada anak bangsa. Walaupun Tun Dr. Mahathir ada beberapa kontroversi melibatkan isu agama, namun sebagai sahabat dan rakyat tugas kita adalah menasihati pemerintah, nasihat beliau kepada saya. Tun Dr. Mahathir seorang yang konsisten dalam berpegang kepada ayat 11, surah Ar-Ra'd: "Sesugguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka."


Dari segi pemikiran agama, datuk berfahaman kaum tua tradisionalis namun beliau terbuka andai penulis menceritakan idea-idea kaum muda. Antara kitab yang beliau minta penulis belikan ketika menuntut di Mesir berjudul تنوير القلوب في معاملة علام الغيوب oleh Syekih Muhammad Amin al-Kurdi. Datuk sangat gembira apabila menerima kitab ini dan menelaahnya. Datuk pernah mengajar penulis cara berzikir "La ilaha illa Allah" mengikut kaedah Tarikat Naqsyabandiah. Antara lafaz yang selalu menjadi sebutan dan zikirnya adalah إلهي أنتَ مقصودي ورضاك مطلوبي bermaksud Tuhanku, Engkau tujuanku dan redaMu yang kucari. Tulisan ini terpampang pada lampu biliknya.


Setiap kali balik bermalam di rumahnya, jika penulis terjaga pukul 2 - 3 pagi, pasti terdengar suaranya yang nyaring membaca al-Quran. Beliau berpesan kepada penulis, jangan tinggal solat Subuh berjemaah di masjid dan jika hendak umur panjang, mandi sebelum terbit matahari. Beliau pernah ke Mekah selama 3 bulan dan bermalam di rumah sahabatnya Haji Nur Janggut. Haji Hamid, Haji Hashim dan Haji Nur adalah kawan rapat ketika belajar di Maktab Mahmud dan kami masih berhubung dengan anak cucu mereka kerana itu pesanannya. Insya Allah penulis akan berkongsi tulisan tangan beliau (datuk memiliki tulisan khat yang cantik) berbentuk khutbah Jumaat, hadith-hadith dan doa dalam blog ini.


Semoga bermanfaat.

10 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page