top of page
Search
Writer's pictureWan Kamal Nadzif Wan Jamil

Surat Tun Dr. Mahathir Mohamad 1989

Updated: Oct 21, 2023

Surat penghargaan atas penyertaan semula ke dalam UMNO (BARU).





[Bendera Sang Saka Bangsa]

SIRI : 09791

فرتوبهن كبغسأن ملايو برساتو (بارو)

PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU BERSATU (BARU) ATAU UMNO

(UNITED MALAYS NATIONAL ORGANISATION)

No. Pendaftaran 676/88 (Wilayah Persekutuan)


PRESIDEN

8HB. DISEMBER 1989

NO. K/PENGENALAN : 2902166

NO. AHLI : 00264337

BAHAGIAN : ALOR SETAR

CAWANGAN : JALAN FAJAR


ABDUL HAMID BIN TAHIR (HAJI)


Saudara/saudari,


Saya mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan penyertaan saudara/saudari dalam UMNO yang telah sama-sama kita pulihkan. Insya-Allah dengan pemulihan semula UMNO, perjuangan kita untuk masa depan orang Melayu, agama Islam dan negara akan dapat diteruskan dengan jayanya. Penyertaan saudara/saudari membuktikan komitmen saudara/saudari terhadap perjuangan ini.


Satu daripada kesan tindakan kumpulan serpihan yang menyebabkan UMNO dihukum tidak sah oleh mahkamah ialah semua harta UMNO, termasuk Pusat Dagangan Dunia Putra, telah tidak lagi dimiliki oleh UMNO dan sekarang ditadbir oleh Pemegang Amanah Raya. Untuk mendapatkan balik semua harta-harta ini, UMNO perlu membuktikan bahawa di antara 1,3000,000 ahli UMNO hari ini terdapat sekurang-kurangnya 700,000 ahli UMNO yang terbukti terdaftar pada April, 1987.


Satu dariapada bukti pendaftaran sebagai ahli UMNO ialah resit yuran pada tahun 1987 atau sebelumnya. Saya harap saudara/saudari dapat menghantar kepada Ibu Pejabat resit ini jika masih berada dengan saudara/saudari. Jika ada lain-lain bukti keahlian seperti surat-menyurat dari Cawangan, Bahagian atau Ibu Pejabat, sila hantar kesemuanya kepada Ibu Pejabat untuk digunakan dalam menuntut balik harta parti UMNO.


Kerjasama saudara/saudari amatlah dihargai dan penting.


Terima kasih.


Salam hormat dari;

Mahathir

[Tandatangan Tun Dr. Mahathir]

MAHATHIR BIN MOHAMAD



 

Ulasan:


Datuk mengenali Tun Mahathir ketika mereka bersama-sama aktif dalam SABERKAS (Sayang Akan Bangsa Ertinya Redha Korban Apa Segalanya). Setelah UMNO ditubuhkan, beliau menyertai dan aktif dalam UMNO. Sebenarnya datuk hingga akhir hayatnya lebih selesa menyebut PEKEMBAR daripada UMNO. Beliau pernah menjelaskan kepada saya logo PEKEMBAR dalam tulisan Jawi, di mana huruf PA, huruf KAF, huruf MIM, huruf BA dan keris bersilang mewakili huruf RA. Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR).


Beliau menceritakan ketika Dr. Mahathir menunggang kuda dalam kempen ketika bertanding di Kedah, dia terjatuh dan datuklah yang menyambutnya. Suatu hari ketika di Bangunan UMNO Kedah, Dr. Mahathir hubungi dan bertanya: "Mid, jom kita pi Mekah." Datuk bersama Dr. Mahathir, Dr. Abdul Hamid Othman dan rombongan pergi menghadiri mesyuarat OIC dan ketika ziarah inilah datuk berpeluang masuk ke dalam Ka'bah. Beliau tinggalkan selembar kain putih yang pernah beliau gunakan ketika solat di dalam Ka'bah.


Datuk pernah menjadi ketua rombongan Haji jemaah Malaysia sebanyak tiga atau empat kali. Waktu itu mereka menaiki kapal yang mengambil masa berbulan-bulan. Beliau pernah menguruskan jemaah yang meninggal dunia dan dikebumikan dengan cara ditenggelamkan ke dalam laut.


Penulis pernah dibawa menghadiri jamuan raya Dr. Mahathir di Dewan Jitra ketika kecil. Kalau mereka bersua, antara perbualan mereka: "Ha, hidup lagi..." Begitulah melawak kasar orang Kedah. Apabila disebut nama kawan-kawan yang telah meninggal dunia, Dr. Mahathir tanya datuk, sakit apa. Jawabnya: "Segan nak bernyawa!" Segan dalam loghat Kedah malas dah nak bernafas.


14 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page