Surat mengeratkan hubungan persaudaraan sesama umat Islam.
[Khat Thughra tertulis:] عبد الرحمن يعقوب
Tun Datuk Patinggi Haji
Abdul Rahman Ya'kub
Sri Bahagia, Petra Jaya
Kuching, Sarawak
Malaysia
Telephone: Kuching - (082) - 440468/443344 8 Disember 1983
Tuan Haji Abdul Hamid Tahir,
Pertubuhan BADAR,
Pondok Raihan,
No. 2824-B,
Jalan Menteri,
Alor Setar,
KEDAH.
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Tuan Haji
Saya mohon ribuan maaf kerana telah begitu lambat menghantar jawapan kepada lembaran Tuan Haji yang bertarikh 7 Muharram, 1404. Saya telah keluar negeri dan kembali ke Kuching beberapa hari yang lalu. Pada masa ini Sarawak sedang menghadapi pilihanraya bagi Majlis Dewan Undangan Negeri dan sekalian yang berkenaan sangatlah sibuk.
Saya bersukacita sungguh mendengar bahawa Pertubuhan BADAR telah mengadakan Mesyuarat Agong pada 27 Oktober 1983 serta terus giat dalam kegiatan dakwah. Insya Allah saya akan mengatur suatu lawatan dalam tahun yang akan datang untuk mempereratkan perhubungan persaudaraan di antara ummat Islam di sini dengan ummat Islam di Kedah. Tentulah pejabat saya nanti akan menghubungi yang bertanggungjawab di Kedah sebelum saya ke sana dan pihak BINA akan menghubungi pihak Tuan Haji.
Saya sudahi dengan doa semoga Allah senantiasa melimpahkan rahmat kebahagiaan kepada sekalian anggota BADAR khususnya Tuan Haji sendiri serta keluarga.
Wassalam,
Yang Ikhlas,
Abdul Rahman
[Tandatangan asal Tun Abdul Rahman Ya'qub]
(TUN DATUK PATINGGI HAJI ABDUL RAHMAN YA'KUB)
Ulasan:
Khat Thughra (طغراء) dalah sejenis khat yang digunakan sebagai cap mohor atau tandatangan yang mula digunakan sejak zaman Sultan-sultan Uthmaniyyah. Tun Abdul Rahman menggunakan khat ini sebagai lambang kepala suratnya.
BINA adalah pertubuhan dakwah di Sarawak. Datuk membawanya ke Kedah menjadi pertubuhan BADAR. Kini BINA berubah menjadi HIKMAH dan BADAR selepas itu berubah menjadi NADWAH. Selain kegiatan dakwah, aktiviti utama pertubuhan adalah silat. Silat yang hampir menyamai Nasrul Haq ini datuk belajar langsung daripada Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya'kub. Penulis sempat belajar silat ini daripada datuk. Mula-mula dia enggan mengajar hinggalah apabila meningkat remaja dan mampu menguasai diri.
Zikir-zikir yang diamalkan bersumberkan ayat-ayat al-Quran dan ada doa tawassul. Sukar dijelaskan secara saintifik, namun menjadi apabila diamalkan! Gelanggang di Langgar dibuka selepas peristiwa 13 Mei dan Dr. Mahathir yang datang merasmikan pembukaannya. Tempat latihan rasmi ialah di Lorong Menteri 2, rumah datuk namun pernah mengadakan latihan silat ini di Kompleks Belia dan Sukan Alor Setar. Di belakang rumah datuk, beliau bina Musolla Ahmadi. Selain menjadi tempatnya berzikir dan khalwat, ia menjadi tempat beliau mengajar al-Quran untuk orang-orang dewasa.
Semoga Allah merahmatinya.
Comments