top of page
Search
Writer's pictureWan Kamal Nadzif Wan Jamil

Surat Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya'kub 1979

Updated: Oct 21, 2023

Surat penghargaan atas bantuan dalam pilihanraya.



Kawat : "KETUA MENTERI" Pejabat Ketua Menteri,

Telex : KM KG MA70116 Bangunan Tunku Abdul Rahman Putra, Telefon : 22020 Petra Jaya

Bil. Surat Kita : 11/PKM/29/15 Kuching, Sarawak,

Bil. Surat Tuan : MALAYSIA.

28hb Oktober, 1979.

[Jata Sarawak tertulis:]

HIDUP SELALU BERKHIDMAT


Tuan Haji Abdul Hamid Tahir,

Setiausaha Politik Menteri Besar,

KEDAH.


Yang Mulia Tuan Haji,


Saya bersyukur kepada Allah apabila menerima surat Tuan Haji dengan kandungan yang menggembirakan saya dan rakan-rakan di sini. Insya Allah saya akan menghubungi YAB Dato' Seri Syed Nahar, Menteri Besar Kedah sekembalinya saya dari London nanti pada awal bulan Disember.


Saya baru sahaja kembali dari Arab Saudi setelah menghadiri Majlis Persidangan Majlis Taksisi Rabitah di Mekah. Sewaktu di sana saya telah uzur sedikit kerana hawa begitu panas. Sekarang saya telah sembuh tetapi akan bertolak ke London dari Singapura pada 3hb November. Isteri saya saya uzur di waktu saya berada di Mekah dan atas nasihat doktor saya akan membawanya menemui pakar jantung di London. Jika perlu di[a] akan menjalani pembedahan samada di Amerika ataupun di New Zealand.


Ustaz Mortadza, Tuan Haji Deli dan rakan-rakan sedang mengerja Fardu Haji pada tahun ini. Saya belum mendapat tarikh yang tetap bila mereka akan balik ke Sarawak.


Sekian saya sudahi dengan salam takzim dan penghargaan yang tidak terhingga atas segala pertulungan yang Tuan Haji curahkan untuk menjamin kejayaan cemerlang bagi saya dalam Pilihanraya yang lalu.


Wassalam.


Abdul Rahman

[Tandatangan asal Tun Abdul Rahman Ya'qub]

(DATUK PATINGGI TAN SRI HJ. ABDUL RAHMAN YAKUB)

KETUA MENTERI,

SARAWAK.



 

Ulasan:


"Hidup Selalu Berkhidmat" adalah slogan yang digunakan di Jata Sarawak di antara 1973 hingga 1988. Ia kemudian diganti dengan slogan "Bersatu Berusaha Berbakti" yang digunakan pada tahun 1988 hingga sekarang. Jata Kerajaan Sarawak adalah lambang burung Kenyalang.


Sekembalinya datuk ke Kedah dari Terengganu, beliau menjadi Setiausaha Politik kepada dua orang Menteri Besar Kedah iaitu Tun Syed Ahmad Shahabudin dan Dato' Seri Syed Nahar. Perjuangan menuntut kemerdekaan datuk bermula dalam pertubuhan SABERKAS iaitu badan politik yang ditubuhkan di Kedah pada tahun 1945. Majalah "Suara SABERKAS" menyeru orang-orang Melayu menentang Malayan Union. Ketika itulah beliau bertemu dan bersahabat dengan Dr. Mahathir.


Selepas bergiat dalam UMNO, datuk memegang Setiausaha UMNO Bahagian Kedah Utara selama lebih empat tahun. Ketika itu hanya ada tiga bahagian sahaja iaitu Kedah Utara, Kedah Tengah dan Kedah Selatan. Beliau pernah menjadi wakil rakyat kawasan Pokok Sena yang ketika itu dikuasai PAS. Jawatan politik terakhir beliau adalah Senator mewakili Dewan Negeri Kedah.


Moga Allah merahmati semua pejuang kemerdekaan.


6 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page