Surat penghargaan atas jemputan perkahwinan.
14/3/79
Yang mulia Tuan Haji Abdul Hamid,
Saya mengucap berbanyak-banyak terima kasih atas jemputan Tuan Haji untuk menghadiri majlis perkahwinan anak Tuan Haji. Saya merasa sangat berdukacita kerana tidak dapat hadir di majlis itu.
Sebagaimana Tuan Haji maklum, pada tarikh itu BINA sedang sibuk dengan seminar. Kami berharap semoga pihak Tuan Haji dan kawan-kawan dapat datang ke Sarawak. Bersamaan ini saya lampirkan sekeping bank draf untuk tanda kenangan dari saya.
Saya dan Datin berdoa semoga kedua-dua mempelai akan diberi rahmat kebahagiaan dalam kehidupan mereka. Sekian dahulu, saya sudahi dengan salam takzim dan berdoa semoga kita dapat berjumpa lagi dalam tempoh yang singkat.
Wassalam.
Yang ikhlas,
عبد الرحمن يعقوب
[Tandatangan asal tulisan Jawi oleh Tun Abdul Rahman Ya'qub]
Ulasan:
Jemputan perkahwinan ini adalah di antara ibu dan bapa penulis iaitu Nadzriah binti Abdul Hamid dan Wan Jamil bin Hashim. Nadzriah adalah anak sulung kepada datuk. Majlis akad nikah dibuat pada bulan Disember tahun 1978 manakala majlis perkahwinan dibuat secara besar-besaran pada 31 Mac 1979.
Datuk iaitu Haji Hamid dan tok wan Haji Hashim adalah kawan baik dan sama-sama belajar di Maktab Mahmud. Untuk mengeratkan lagi hubungan persahabatan, mereka mengahwinkan anak masing-masing iaitu mama dan arwah abah. Alhamdulillah, hasil doa Allahyarham Tun Abdul Rahman dan yang lain, Nadzriah dan Wan Jamil dikurnai lapan orang anak iaitu dua lelaki dan enam perempuan.
Wan 'Adlina belajar di Ireland dan kini seorang akauntan, Dr. Wan Kamal Nadzif belajar di Mesir dan kini pensyarah UiTM Perak, Wan Ahmad Hamdi belajar di Jerman dan kini seorang jurutera. Wan Farhana belajar di USM, seorang usahawan, Dr. Wan Nabilah belajar di Jordan, doktor di Hospital UiTM dan Dr. Wan Nasyitah belajar di India, doktor di Hospital Putrajaya. Wan Nurul Najihah, belajar di Kolej Perubatan Ulu Kinta, pembantu perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah dan Wan Syakirah belajar di UiTM, pegawai statistik di Putrajaya.
Alhamdulillah, berkat doa dan perkahwinan yang diatur oleh orang tua-tua.
Kommentare