top of page

Asal usul nama Cempaka Sari

Sultan Perak ke-15, Sultan Iskandar Dzulkarnain (m.1770) membangunkan Cempaka Sari yang terletak di Kuala Sungai Kinta. Baginda kemudian mengubahnya kepada nama Pulau Indera Sakti. Sultan Idris II (m.1984) menulis lirik lagu berjudul Cempaka Sari yang menceritakan sejarah tempat ini. Kedudukannya berada di pertengahan di antara Teluk Intan dengan Kampung Gajah. Asalnya Sultan Iskandar I bersemayam di Berahman Indera (Bota Kanan). Hikayat Misa Melayu merekodkan Sultan Iskandar I kurang senang dengan bunyi nobat pada majlis keraian yang diadakan di istana kerana ia berdekatan dengan makam para Sultan. Bagi menghormati almarhum Sultan sebelumnya, baginda memindahkan pusat pemerintahan ke Pulau Cempaka Sari.

Indera Sakti adalah nama asal negeri Perak. Hikayat Merong Mahawangsa merekodkan anak Raja Merong membuka negeri Perak dengan cara memanah menggunakan busur panah Indera Sakti. Serunya: "Hai Indera Sakti, jatuhlah engkau kepada bumi tiga empat biji itu. Di mana engkau jatuh di situlah aku perbuat negeri dan kota parit tempat aku diam." Tempat jatuh busur panah itu dinamakan Pulau Indera Sakti. Selepas dibina kota istana dan makmur menjadi sebuah negeri, dinamakan sebagai Perak kerana jasa anak panah yang membuka negeri ini, matanya diperbuat daripada perak. Demikian sumber lisan. Kini Istana Cempaka Sari adalah Istana Raja Muda yang terletak di Ipoh, Perak.


Buku ini
(Cempaka Sari) didedikasikan untuk:

Anak-anak tebing Sungai Perak yang mewarisi sejarah pahit maung perjuangan bangsa mempertahankan tradisi dan kemerdekaan.
 
M.A Fawzi Basri

Dinamakan web ini Cempaka Sari kerana maklumat di dalamnya diambil daripada buku bertajuk Cempaka Sari: Sejarah Kesultanan Negeri Perak. Buku ini adalah sumber primer yang dirujuk. Ia dikarang oleh Prof. Madya M.A. Fawzi Basri, mantan pensyarah di Universiti Utara Malaysia. Buku ini diterbitkan oleh Yayasan Perak pada tahun 1986.

Selain itu, penulis turut merujuk sumber-sumber sekunder lain seperti buku A History of Perak oleh R.J. Wilkinson. Begitu juga buku Hikayat Iskandar Zulkarnain oleh Dr. Ghazali Basri, Dr. Noriah Mohamed dan Dr. Wan Kamal Nadzif. Manakala kandungan kitab Risalah Iskandar Syah oleh Sultan Iskandar Shah berdasarkan transliterasi dan kajian oleh Dr. Wan Kamal Nadzif, pensyarah di UiTM Seri Iskandar dan Saidi Adnan, pensyarah di UiTM Tapah.

Sumber-sumber lain yang dirujuk termasuklah maklumat daripada pihak arkib dan muzium ketika lawatan penulis ke Muzium Aceh, Galeri Sultan Azlan Shah, Muzium Negara dan Makam-Makam Diraja Sultan Perak. Begitu juga laman-laman web rasmi seperti:

http://sultan.perak.gov.my/

https://sultannazrinshah.com/about/

bottom of page